Saban tahun kita menyambut Maal Hijrah. Namun, apakah ia sekadar sambutan kosong tanpa apa-apa kesan?
Kita mungkin dengan mudah dapat mentakrifkan apa itu hijrah. Namun, apakah kita menyedari signifikan peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w?
Hijrah menuntut jihad. Hijrah bukanlah sekadar perpindahan. Hijrah adalah menegakkan syariat Islam sehingga Islam dilaksanakan dengan syumul. Kita lihat kembali sirah, bagaimana Rasulullah berjaya membina sebuah model negara yang ideal iaitu Madinah al-Munawwarah. Dari aspek politik, pemerintahan, ekonomi, sosial dan sebagainya semuanya sempurna.
Maka kita perlu ingat dan sedar bahawa, pembinaan negara Madinah itu bukanlah suatu yang mudah. Rasulullah dan kaum Muhajirin berkorban harta dan keluarga untuk berhijrah ke Madinah. Lihatlah keberanian Saidina Ali yang menggantikan tempat tidur Rasulullah, Saidina Umar yang berhijrah secara terang-terangan, Saidina Abu Bakar yang bersama-sama Rasulullah di Gua Thur, Suhaib Ar Rum yang meninggalkan segala harta kekayaan untuk berhijrah dan sebagainya.
Begitulah pengorbanan dan jihad yang telah dilakukan. Akhirnya, lahir sebuah model negara ideal dengan pelaksanaan Islam yang syumul, melalui penghijrahan.
Kita pula bagaimana?