Thursday, December 23, 2010

Husnuzhon

Hati. Sangat kompleks. Setiap orang sekurang-kurangnya mesti pernah bercakap dalam hati kan? Contohnya.
Apabila seorang kawan kita menghadap laptop ‘24 jam’, hati kecil kita berkata, “Eh dia ni asyik menghadap laptop je. Membazir masa je. Mesti tengah sibuk melayan awek.”
Apabila seorang kawan kita bersendirian, hati kecil kita berkata, “Dia ni tak ada kawan ke? Mesti sombong.”
Tunggu dulu! Sebelum macam-macam bermain di dalam hati kita, ingatlah firmah Allah dalam Surah Al-Hujuraat ayat 12.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Bersangka ada dua. Bersangka baik dan bersangka buruk. Bersangka buruk adalah suatu dosa dan boleh jadi, ia menjadi pemula kepada dosa-dosa lain seperti mengumpat dan fitnah.
Mungkin sahabat kita yang menghadap laptop ‘24 jam’ itu sedang mengikuti forum agama, atau mungkin sedang menulis artikel berunsur dakwah. Siapa tahu?
Boleh jadi juga sahabat kita yang bersendirian itu sedang menghidap penyakit berjangkit dan dia tidak mahu kawan-kawannya dijangkiti. Siapa tahu?
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta”
Dengan manusia kita perlu sentiasa bersangka baik. Apatah lagi dengan Allah s.w.t. Saat kita sudah berusaha bersungguh dan bekerja keras, hasilnya mengecewakan. Maka, saat itu juga kita mestilah bersangka baik dengan Allah kerana Dialah yang menetapkannya. Hikmah pasti ada di sebalik sesuatu yang berlaku.

Maka, berhati-hatilah dengan prasangka, kerana ia boleh menjurus  kepada dosa-dosa besar serta kekufuran. Sentiasa fikir sebelum berkata, biarpun ia tersembunyi dalam hati kita sahaja. Ya, seperti di permulaan artikel ini, “Hati. Sangat kompleks”. Kawallah hati dan fikiran. Sentiasalah bersangka baik. Semoga kita bahagia sejahtera dalam perantauan di dunia ini dan di negeri abadi sana.

Comment :

© 2011 Usrah Institution . All Rights Reserved.. Powered by Blogger.