Wednesday, July 6, 2011

Panduan Meneliti Kesan Surah al-Kahf



Hari ini hari Jumaat.
Penghulu sekalian hari.
Kehadirannya bukan hanya dengan semangat seronok menyambut hujung minggu dan cuti, tidak juga sekadar ‘rutin’ Surah al-Sajadah dan Surah al-Insan di solat Fajarnya.
Rebutlah beberapa keutamaan penting yang disediakan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala khusus dengan kedatangan hari ini.
Antaranya ialah membaca dan bertadabbur dengan Surah al-Kahf.
Daripada Ali, yang meriwayatkan daripada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, baginda bersabda, “BARANGSIAPA MEMBACA SURAH AL-KAHF PADA HARI JUMAAT, NESCAYA DIRINYA TERPELIHARA HINGGA LAPAN HARI, DARIPADA SEGALA FITNAH YANG MELANDA, DAN JIKA KELUAR DAJJAL SEKALI PUN, DIA AKAN TERPELIHARA DARIPADANYA” [Al-Dhurr al-Manthur oleh al-Suyuti 5: 355]
FUNGSI SURAH AL-KAHF
Menurut Sahib Tafseer fee Dhilaal al-Quran, Surah al-Kahf berfungsi melindungi orang-orang yang beriman daripada fitnah Dajjal kerana ia menyediakan ‘tools’ untuk menghasilkan tiga perkara:
  1. (تصحيح العقيدة) Membetulkan sistem kepercayaan (Aqidah)
  2. (تصحيح منهج الفكر و النظر) Membetulkan metod berfikir dan memerhati (Pandangan Hidup)
  3. (تصحيح القيم بميزان العقيدة) Membetulkan sistem nilai dengan pertimbangan kepercayaan (Nilai)

CHECK LIST
Justeru, usai membaca Surah al-Kahf, jawab soalan-soalan berikut sebagai menilai keberkesanan isi kandungan Surah itu kepada kehidupan kita:
  1. Apabila mempercayai sesuatu dalam hidup ini, atas asas apakah ia dipercayai? Aqidah, Ibadah, urusan jual beli dan kepenggunaan, bagaimanakah kita menetapkan pendirian tentang keputusan ‘buy-in’ kita terhadap sesuatu yang datang ke dalam hidup?
  2. Bagaimanakah kejadian-kejadian di dalam hidup ini diberikan makna? Kerjaya, keluarga, perancangan hidup, adakah ia sekadar makna kulit bagi setiap perkataan itu atau ada makna yang lebih besar? Jika sistem ganjaran terhadap kerjaya dan keluarga gagal memenuhi jangkaan diri, bagaimanakah ia diatasi dan di sisi manakah kita mendapatkan kepuasan mengenainya?
  3. Apakah yang baik, berguna, penting dan utama dalam hidup ini? Bagaimana pertembungan di antara pelbagai komitmen ke atas diri yang satu, disusun atur antara yang perlu disusun atur, atau dibuang dan diabaikan seandainya tidak perlu? Bagaimanakah keputusan untuk hal-hal ini dibuat? Atas pertimbangan apakah keputusan itu dibuat?

Ini adalah soalan kehidupan yang boleh digunakan untuk menilai, sama ada ‘tools’ yang terdapat di dalam Surah al-Kahf berjaya digarap atau sebaliknya.
Fitnah Dajjal tidak datang dalam bentuk ancaman fizikal. Ia muncul dalam keadaan kita pun mungkin tidak sedar dengan kemunculannya. Ia menyelinap masuk mengganggu gugat kepercayaan, merosakkan sistem fikir dan sistem nilai.

MUHASABAH
Muhasabah KEPERCAYAAN anda (cetusan kisah Ashaab al-kahf).
Muhasabah HARTA anda (cetusan kisah lelaki kafir pemilik dua kebun).
Muhasabah ILMU anda (cetusan kisah Musa dan Khaidir).
Muhasabah KUASA anda (cetusan kisah Zulqarnain).
Adakah setiap satunya itu ASET atau LIABILITI?
Jika setiap satunya membawa kita kepada Allah, maka ia adalah aset yang penting bagi pelaburan hidup dunia dan Akhirat.
Jika setiap satunya gagal membawa kita kepada Allah, maka ia adalah liabiliti yang mengundang musibah dunia dan Akhirat.
Ia mesti berhubung dengan Allah.
Terputus hubungan dengan Allah, semua kepercayaan, harta, ilmu dan kuasa akan melekat di dinding Materialisma.
Mazhab Dajjal.


ABU SAIF
Saiful Islam
68000 AMPANG

Comment :

© 2011 Usrah Institution . All Rights Reserved.. Powered by Blogger.