Friday, April 1, 2011

Kisah Si Gajah Dan Penjaganya

alt

"Mawar ni paling nakal dan suka membuli pelatih baru di sini," kata Hafizan Mohamed yang bertindak sebagai Mahut atau penjaga kepada Mawar, anak gajah betina yang baru berusia 11 tahun.
Katanya, Mawar yang menetap di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah sejak berusia dua tahun suka menampar pelatih atau pekerja baru menggunakan belalainya tetapi takut kepada pelatih yang lebih lama.
Mahut ialah panggilan untuk gembala yang bertugas secara khusus menjaga dan melatih hanya seekor gajah tertentu. Hafizan mula bekerja sebagai gembala gajah sejak lebih tiga tahun lepas dan Mahut kepada Mawar selama dua setengah tahun.
Enam bulan sebelum itu, dia menjalani latihan khas dengan anak gajah yang kecil untuk belajar cara berinteraksi dan memahami bahasa, emosi serta kelakuan gajah. Nama Mawar diambil daripada lokasi anak gajah itu diselamatkan ekoran terpisah dari keluarganya semasa berusia hanya dua tahun dan tersesat di kawasan kampung Felcra Mawai Johor. Mawar ketika itu memberi cabaran kepada kakitangan PKGK kerana ia cerewet memilih dan akan memukul jika tidak suka dengan cara mana-mana gembala yang cuba menjinakkannya.

Mendapat Kepercayaan Mawar

Hafizan juga tidak terlepas dari menerima tamparan yang dikira sebagai 'salam perkenalan' daripada Mawar seawal hari kedua latihan. Tetapi dia tidak putus asa dan cekal mengkaji kesilapan yang dilakukan, sehingga dia menemui kunci yang membuatkan Mawar patuh kepada arahan iaitu gula-gula berangin, 'Hacks'.
Mawar amat gembira jika dihadiahkan dengan gula-gula tersebut dan suka menghembus udara kepada gembala yang lain. "Pernah sekali saya sengaja tidak melayani Mawar yang merayu-rayu menuntut hadiah, akibatnya dua jam kemudian, saya dimarahi dengan satu lagi 'salam perkenalan' yang agak kuat," ujar Hafizan sambil mengakui itu adalah peringatan untuk tidak lagi mempermainkan Mawar.

Mawar Pandai Cemburu

Hafizan menyedari bahawa Mawar tidak ubah seperti kanak-kanak periang yang suka bermain dan mudah serasi jika kena gayanya, jadi beliau berusaha mengenalpasti tabiat dan minat Mawar serta perkara yang tidak disukainya. "Melatih anak gajah perlu banyak bersabar, adakala ia meragam dan pada waktu yang lain ia seperti sengaja berdegil, jadi antara cara yang berkesan untuk mendapat kepercayaan mereka ialah dengan memberi upah makanan kegemaran," kata Hafizan.
Pada masa yang sama, Mawar juga kuat cemburu dan akan marah jika terlihat Mahut memberi perhatian kepada anak gajah yang lain. Ini adalah perangai biasa bagi anak gajah jinak yang mempunyai hubungan erat dengan Mahut tertentu selepas beberapa tahun dilatih. Beliau juga mengakui latihan perlu tegas agar gajah patuh dan hormat kepada Mahut, tetapi menengking atau memukul gajah sesuka hati amat dilarang.

Gajah Memahami Perasaan Manusia

Mawar dan Mahut mempunyai banyak kenangan indah bersama, sesekali Hafizan akan membawa Mawar keluar berjalan-jalan dengan menunggangnya ke kedai makan terdekat. "Mawar sangat gembira dan sentiasa berkelakuan baik jika dibawa berjalan-jalan keluar dari kawasan PKGK, apatah lagi jika diberi upah roti," katanya dan menambah bahawa anak gajah tidak pernah menimbulkan masalah selagi ia dilayan baik oleh orang sekeliling.
Hafizan turut mengakui bahawa adakala beliau merasakan Mawar adalah teman yang paling memahami jiwa dan perasaannya.
"Pernah sekali saya mencari Mawar untuk meluahkan segala masalah peribadi yang terpendam dalam hati, Mawar duduk diam seolah-olah kusyuk mendengar dan kemudian ia berbaring bagai ingin bermanja dan memujuk saya.
"Ini membuatkan saya semakin sayangkannya apatah lagi sepanjang hari itu iasangat patuh dan langsung tidak meragam," sambung Hafizan sambil bertekad akan memastikan anak gajah yang mempunyai perasaan mendalam itu sentiasa selamat dan selesa.

Menyusuri Denai Gajah

"Gajah yang gembira ialah gajah yang tidak boleh duduk diam, sentiasa menghayunkan ekor, mengibas telinga dan suka makan," kata Hafizan sebelum memberi amaran agar berhati-hati dengan gajah yang berdiri tegak, senyap dan kelihatan tegang.
Penerangan itu segera menyakinkan penulis untuk menunggang dengan lebih selesa di belakang Mawar untuk perjalanan sejauh 1.5 kilometer menyusuri denai gajah yang terletak bersebelahan kawasan lapang aktiviti gajah bersama pelawat. Menyusuri denai gajah adalah rutin senaman gajah, bagaimanapun, ia mungkin akan dipertimbangkan sebagai aktiviti gajah bersama pelawat pada masa depan.
Mawar kelihatan sangat gembira mendapat perhatian penuh bukan sahaja dari Mahut malahan beberapa wakil media yang mengekori dan melayaninya dengan mesra. Malah sepanjang perjalanan, dia tidak henti-henti menunjukkan mood yang sangat baik iaitu menghayunkan ekor dan meragut apa sahaja yang sempat dicapai dengan belalai.

Merajuk Dan Lari Ke Hutan

Kata Hafizan, Mawar anak gajah yang baik dan mendengar kata, tetapi adakala dia boleh menjadi nakal terutama apabila berdekatan dengan rakan baiknya, Abot, seekor lagi gajah betina yang hampir seusia. "Abot mudah merajuk semasa berlatih serta sering lari ke kawasan denai menyebabkan Mawar akan turut meragam dan pasti ikut lari bersama," ujarnya.
Gajah yang merajuk enggan mengikut kata orang lain dan memerlukan masa bertenang, jadi mereka akan dibiarkan bersendirian kira-kira 30 minit sebelum Mahut mencari dan memujuk lembut untuk mereka kembali ke tempat latihan.

Latihan Sarkas Bukan Pilihan

Latihan di PKGK bukanlah berbentuk latihan sarkas yang dikira kejam, sebaliknya latihan untuk aktiviti pemindahan gajah liar dari kawasan konflik hidupan liar di antara gajah dan manusia. Mawar juga akan dilatih menjadi gajah denak supaya boleh bertugas membantu pemindahan gajah liar apabila ia dewasa iaitu sekurang-kurangnya lima tahun lagi.
Latihan itu melibatkan kemahiran mengikut arahan seperti duduk dan bangun, berjalan ke depan, kiri, kanan atau mengundur serta berhenti, angkat kaki untuk rawatan kecederaan, mengangkat dan mengalihkan rantai besi dan seumpama. Berbeza dengan semasa mula dilatih, Mawar kini mahir menjalankan banyak arahan, termasuk yang paling istimewa ialah bermain bola dan mengalih pokok.
Memandangkan aktiviti pemindahan memerlukan beberapa ekor gajah denak bekerja bersama-sama, Mawar dan Abot dijangka boleh dilatih untuk bertindak sebagai satu pasukan berdasarkan hubungan rapat mereka.

Sehari Dalam Hidup Mawar

Mawar akan bersua muka dengan Mahut yang akan membersihkan platform kurungan sambil memandikannya seawal pukul lapan pagi. Seterusnya Hafizan akan melayan Mawar bersarapan hingga dia menghabiskan tiga hingga empat kilogram dedak kuda, sebelum menunggang ke dalam denai hutan untuk bersenam dan meluangkan masa berkualiti.
Kira-kira pukul 10 pagi, Mawar akan dilepaskan di satu bahagian hutan khas Rezab Hidupan Liar Krau seluas 400 meter persegi dan dipagari dengan pagar khas. Di sini Mawar boleh berjalan, makan dan bersosial dengan gajah jinak lain PKGK sambil menikmati kehidupan semula jadi.
Sejam kemudian mereka akan dijamu lagi dengan tebu yang disediakan Mahut dan terus menikmati kebebasan sehingga dipanggil Mahut masing-masing sekitar pukul 1.50 petang. Hafizan akan memandikan Mawar di sungai dan menyediakannya untuk aktiviti bersama pelawat.
Rutin memandikan gajah mampu menguatkan lagi jalinan kasih sayang di antara mereka berdua kerana gajah dapat memahami betapa Mahut meluangkan banyak masa dan usaha untuk menjaga mereka. Selepas itu, Mawar akan bertindak sebagai penyambut tetamu PKGK iaitu menggunakan belalainya untuk membawa sebaldi air dan menyemburkan air ke arah
pelawat sebelum memberi tunduk hormat.
Mawar tidak terlibat dengan aktiviti mandi sungai bersama gajah tetapi pelawat berpeluang menyuapkan buah-buahan ke mulut atau belalai Mawar. Akhir sekali, Hafizan akan menunggang Mawar untuk keluar makan angin di kawasan sekitar sehinggalah pukul 3.30 petang sebelum kembali ke platform untuk makan.
"Semasa makan adalah waktu terbaik untuk manjakan Mawar," sambil berkata Mawar mesti kerap dibelai kerana ia mempunyai perasaan dan keinginan untuk disayangi seperti manusia. Hafizan mengakui Mawar sangat kuat tidur malah sering terlelap sambil berdiri semasa aktiviti.
Berbeza dengan gajah lain yang tidur dalam posisi berjaga-jaga iaitu berdiri dan mengambil giliran, Mawar terus baring dan tidur nyenyak tanpa mempedulikan gajah lain.

Fikirkan

Haiwan merupakan salah satu makhluk hidup ciptaan Allah selain manusia. Selain menyebut tentang kisah kehidupan manusia, firman-firman Allah juga menceritakan perihal haiwan.Ini dapat dilihat di dalam Al Quran dengan enam daripada 114 surah dalam al-Quran yang dinamakan sempena nama-nama haiwan seperti surah-surah al-Baqarah (lembu), al-An'am (haiwan ternakan), al-Nahl (lebah), al-Naml (semut), al-Ankabut (labah-labah) dan al-Fil (gajah). Haiwan juga disifatkan oleh Allah sebagai hamba yang taat dan sentiasa bertasbih kepada Allah.
Makhluk Allah iaitu haiwan juga sentiasa taat mengerjakan ibadat dan memuji kebesaran Allah dan Allah sentiasa mengetahui apa yang mereka lakukan [ Surah An Nur: Ayat 41]

Comment :

© 2011 Usrah Institution . All Rights Reserved.. Powered by Blogger.