Saturday, December 25, 2010

Pengumuman

Assalamualaikum w.b.t

Badan Kebajian Islam Telekom Malaysia cawangan MMU (BAKIT-MMU) akan menganjurkan ceramah khas bertajuk “Al-Hijrah” bersempena tahun baru kalendar Islam seperti ketentuan berikut:

Tarikh : 21 Muharram 1432H / 27 Disember 2010
Masa : 2.30-4.30 petang
Tempat : Dewan Peperiksaan, MMU Melaka

BAKIT MMU




Islam itu luas

 



Tertarik dengan beberapa ulasan lewat pembacaan saya dalam satu buku Untukmu Umatku, sentuhan Ustaz Zaharuddin. Ia berkaitan perpecahan yang berlaku dalam kalangan Umat Islam pasca fitnah ini. Tambahan pula, perbincangan kitab Jundullah Thaqofatan wa Akhlaqan karangan Sheikh Sa'id Hawwa dalam usrah mingguan sudah sampai pada tajuk "Kewajipan hari ini adalah penyatuan matlamat."

Bagi mereka yang memperjuangakan Islam melalui sesuatu platform. Mereka akan memperkecilkan usaha pendakwah lain yang tidak melalui wadah yang sama dengan mereka. Misalnya, kita kerap melihat kejumudan minda beberapa indvidu yang memperjuangankan Islam melalui politik, yang pastinya mereka tidak akan diremeh dan dikutuk. Sebaliknya, mereka yang tidak memperjuangankan Islam seperti mereka akan dicemuh, kononnya tercicir di jalan dakwah.. Sesungguhnya mereka telah tertipu dengan pemainan perasaan oleh Syaitan.

Astaghfirullahalazim... tidakkah mereka sedar, ia satu penyakit ujub iaitu merasa diri hebat dengan jalan perjuangan itu? Sesungguhnya, memperjuangankan Islam mempunyai cara yang amat luas dan pelbagai. Tidak perlu semua ikut rentak yang sama, kerana kaedah perlu dipelbagaikan sesuai dengna kumpulan sasaran.

Bahkan, pejuangan Islam melalui politik itu sendiri amat luas skopnya, dan bukan hanya dengan berterus terang sebagai ahli atau pimpinan parti tertentu. Berceramah di musin pilihanraya atau pentas, berdemonstrasi aman, menyerah memorandum, mengulas isu politik kepartian dengan terus terang dan lain-lain atas nama parti. Inilah sahaja yang dikategorikan "berani" dan "memperjuangakan Islam' oleh segelintir mereka.

Kita dapat lihat pada zaman ini, begitu ramai ulama mempunyai peranan walaupun tanpa komitmen dengan parti politik kepartian tertentu. Antaranya, Sheikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhayli, Dr. Ramadhan al-Buti dan ramai lagi. Buku tulisan dan kertas kerjapembentangan mereka tersebar seluruh dunia dan dimanfaatkan oleh kawan dan lawan, sama ada berparti atau tidak.

Tidak dinafikan, ramai juga yang mengambil jalan politik kepartian seperti Syeikh Dr Abdullah Azzam, Dr. Muhd Abu Faris, Syeikh Dr. Hammam Sa'id dan lain-lain dalam memperjuangkan Islam.

Apa yang penting, biarlah setiap orang berjuang dengan cara mereka. Anda tidak tahu yang manakah lebih utama, berjasa dan lebih baik disisi Allah. Ada yang pemperjuangankan Islam melaui akademik, NGO, korporat, motivasi, sekolah, tadika, menyediakan perniagaan dan makanan halaldan lain-lain. Setiap satu melengkapi antara satu sama lain. Mana yang terbaik di sisi Allah? Ia bergantung kepada dalaman, usaha bersungguh dan keikhlasan si pendakwah.



Allah SWT berfirman :


Maksudnya :

Katakanlah: "Tiap-tiap orang berbuat menurut keadaannya masing-masing". Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya.





Ibn Abbas menyatakan, maksud syakilatihi dalam ayat di atas bermaksud sudut masingp-masing. Manakala sebahagian lain mengatakan, berdasarkan niat masing-masing.

Buat pihak yang suka dan berhasrat mengutuk kerja dan usaha baik oarang lain, sedarilah anda sebenarnya sedang melakukan dosa dan menjauhkan orang daripada Islam dan hidayah Allah. Disebutkan dalam sebuah hadis yang bermaksud :

" Janganlah kamu mencela apa jua perkara kebaikan (yang dilaakukan), walaupun hanya sekadar seseorang bertemu saudaranya dengan wajah yang senyum dan riang." (Riwayat Ahmad dari hadis jabir, no 19717.)

Justeru, apa jua kebaikan yang diusahakan oleh seseorang kita ditegah untuk memperlekehkannya.




Anda pilih yang mana? Tepuk dada tanya Iman :)





Nik Muhammad Amin bin Nik Muhammad Kamil


Presiden
Institusi Usrah 1011
Multimedia University
Kampus Melaka

Thursday, December 23, 2010

Husnuzhon

Hati. Sangat kompleks. Setiap orang sekurang-kurangnya mesti pernah bercakap dalam hati kan? Contohnya.
Apabila seorang kawan kita menghadap laptop ‘24 jam’, hati kecil kita berkata, “Eh dia ni asyik menghadap laptop je. Membazir masa je. Mesti tengah sibuk melayan awek.”
Apabila seorang kawan kita bersendirian, hati kecil kita berkata, “Dia ni tak ada kawan ke? Mesti sombong.”
Tunggu dulu! Sebelum macam-macam bermain di dalam hati kita, ingatlah firmah Allah dalam Surah Al-Hujuraat ayat 12.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”
Bersangka ada dua. Bersangka baik dan bersangka buruk. Bersangka buruk adalah suatu dosa dan boleh jadi, ia menjadi pemula kepada dosa-dosa lain seperti mengumpat dan fitnah.
Mungkin sahabat kita yang menghadap laptop ‘24 jam’ itu sedang mengikuti forum agama, atau mungkin sedang menulis artikel berunsur dakwah. Siapa tahu?
Boleh jadi juga sahabat kita yang bersendirian itu sedang menghidap penyakit berjangkit dan dia tidak mahu kawan-kawannya dijangkiti. Siapa tahu?
Sabda Rasulullah s.a.w:
“Jauhilah prasangka itu, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta”
Dengan manusia kita perlu sentiasa bersangka baik. Apatah lagi dengan Allah s.w.t. Saat kita sudah berusaha bersungguh dan bekerja keras, hasilnya mengecewakan. Maka, saat itu juga kita mestilah bersangka baik dengan Allah kerana Dialah yang menetapkannya. Hikmah pasti ada di sebalik sesuatu yang berlaku.

Maka, berhati-hatilah dengan prasangka, kerana ia boleh menjurus  kepada dosa-dosa besar serta kekufuran. Sentiasa fikir sebelum berkata, biarpun ia tersembunyi dalam hati kita sahaja. Ya, seperti di permulaan artikel ini, “Hati. Sangat kompleks”. Kawallah hati dan fikiran. Sentiasalah bersangka baik. Semoga kita bahagia sejahtera dalam perantauan di dunia ini dan di negeri abadi sana.

Secebis Kenangan WOW!


Wonderful Weekend (WOW!) yang dianjurkan oleh Institusi Usrah Melaka dengan kerjasama Big Circle (BC110). Bertempat di Gunung Ledang, Johor. Somoga pertemuan sehari dua itu bakal membuahkan hasil tarbiyah dan ukhuwah yang baik untuk dituai di Sana nanti. Itulah hakikat dunia sebagai tempat untuk menyemai, dan akhirat adalah tempat untuk menuai.



Sunday, December 19, 2010

Bila TOILET lebih penting dari solat berjemaah@SOLAT!!!!


Bila kita berbicara mengenai pelaksanaan ibadah yang dituntut oleh agama seperti solat berjemaah, ramai yang akan mencari pelbagai alasan untuk mengelak daripada melaksanakannya. Contohnya:
*Setiap situasi adalah berlainan bagi setiap watak.
Pelajar 1:
Saya busy nak siapkan assignment, kerja rumah, presentation dan lain-lain. Lagipun, saya tak pandai sangat. Jadi, kenalah stay up untuk revised subjek yang tak faham. Susah sikit nak bangun pagi untuk solat subuh berjemaah.
Pelajar 2:
Kalau solat kat rumah boleh jimat masa. Banyak kerja lain boleh siapkan. Kat rumah pon boleh solat berjemaah jugak kan…
Peniaga@businessman:
Kami perlu jaga bisnes kami. Kalau kami tak selia dengan baik pelanggan kami, bisnes kami akan rugi. Bukan kami ingin mengelak dari solat berjemaah yek.
Pekerja awam:
Kami bekerja dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Letih. Jadi, malam adalah waktu rehat kami. Solat kat rumah sudahlah.

Setiap daripada kita mempunyai ‘alasan kukuh’ untuk tidak melaksanakan kewajipan kita. Bagi pelajar, tugas menuntut ilmu adalah segala-galanya. Bagi seorang usahawan, tiada lagi ruang untuk menumpukan kepada perkara lain kerana bimbang bisnesnya akan terjejas. Siang dan malam mereka akan pastikan semua urusan bisnesnya berjalan lancar. Bagi penjawat awam, waktu kerja yang menuntut penggunaan tenaga sepenuhnya menyebabkan mereka memerlukan rehat yang mencukupi bagi menyambung urusan kerja pada keesokannya. Semua ‘alasan’ tersebut amat kukuh dan tersusun rapi.
Begitulah pekerjaan sepanjang-panjang hari dalam seminggu dan bulan yang kita dahulukan. Saya ingin bertanya kepada setiap daripada pembaca juga diri yang perlu sentiasa diingatkan ini, adakah solat juga lain-lain ibadah yang dituntut untuk kita melaksanakannya@ WAJIB, lebih penting dari tugasan kita di tandas?? Saya ingin membawakan satu analogi mudah, situasi bagi seorang usahawan.
Usahawan yang semakin berjaya bisnesnya, Amir(bukan nama sebenar) merupakan sahabat Yassin(bukan nama sebenar), sebelum ini solat berjemaahnya amat terjaga, namun bila bisnesnya semakin meningkat naik, semakin jarang untuk melihatnya bersama-sama Yassin dalam solat berjemaah di masjid.
Yassin yang risau akan perubahan sahabatnya itu lantas menziarahinya ke tempat bisnes. Amir  menyambut kunjungan Yassin dengan baik tetapi diselaputi 1001 kerisauan yang mendalam, bimbang akan ditanya perihalnya usahanya mendekati Pencipta Yang Maha Esa. Akhirnya dia berterus terang saja dengan memberi alasan bahawa dia tidak mampu untuk membiarkan urusan bisnesnya diurus oleh pekerja-pekerjanya tanpa pemantauan daripadanya sendiri. Dia perlu sentiasa bersama pekerja-pekerjanya pada setiap masa.
Yassin yang bijaksana telah bertanya…”Sedang saudara memantau pekerja-pekerja saudara keluar masuk melaksanakan kerja mengikut yang disuruh, tiba-tiba perut saudara sakit dan perlu segera ke toilet bagi melegakannya, apa yang saudara akan lakukan?” Dia menjawab sudah tentu saya akan ke toilet dengan segera kerana itu adalah keperluan mendesak yang tidak boleh dikompromi…..benar sahabatku… Yassin lantas menyatakan: “Kalau demikian halnya, saudara telah menjadikan solat berjemaah juga urusan-urusan WAJIB yang diperintahkan kepada saudara  ini kurang pentingnya berbanding urusan saudara ke toilet…Ke toilet saudara kata penting dan perlu…kerananya bisnes mesti ditinggalkan. Tahukah saudara yang selama ini saudara telah meletakkan urusan solat berjemaah ini lebih rendah daripada martabat urusan saudara ke bilik air/tandas????”
Percaya atau tidak, itulah hakikatnya. ‘Bisnes’ yang dimaksudkan bukan sahaja berkenaan dengan usahawan tersebut sahaja, bagi seorang pelajar bisnesnya ialah urusan menuntut ilmunya, bagi penjawat awam, bisnesnya ialah tugasan kerjanya begitu juga lain-lain pekerjaan. Kita terlalu sibuk mengejar ‘bisnes’ dunia kita yang pulangannya hanyalah bersifat sementara dan meninggalkan ‘bisnes’ akhirat kita yang berkekalan sifatnya.
Mari kita lihat bagaimana Allah S.W.T. mengatakan perdagangan ataupun ‘bisnes’ yang TERBAIK di dalam Al-Quran,
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah kamu Aku tunjukkan suatu perdagangan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih?  Iaitu kamu BERIMAN KEPADA ALLAH DAN RASUL-NYA DAN BERJIHAD DI JALAN ALLAH DENGAN HARTA DAN JIWAMU. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahui. NISCAYA ALLAH MENGAMPUNI DOSA-DOSAMU DAN MEMASUKKAN KAMU KE DALAM SYURGA YANG MENGALIR DI BAWAHNYA SUNGAI-SUNGAI, DAN KE TEMPAT-TEMPAT TINGGAL YANG BAIK DI DALAM SYURGA ADN. ITULAH KEMENANGAN YANG AGUNG. Dan ada lagi kurniaan yang lain yang kamu sukai iaitu PERTOLONGAN DARI ALLAH DAN KEMENANGAN YANG DEKAT(WAKTUNYA). Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang mukmin”.
(As-Saff 61:10-13)
Itu adalah janji-janji Allah mengenai ‘bisnes’ yang terbaik yang terlalu ramai antara kita abaikan. Semoga sedikit perkongsian ini mampu merubah paradigm kita dalam melaksanakan prioriti utama kita sebagai MUSLIM Insya’Allah.
credit : azzariyat.com

Tuesday, December 14, 2010

syaitan itu kreatif!!

www.iluvislam.com
Pahrol Mohd Juoi

Editor:mawaryangtinggi




Pernah satu ketika saya diminta belajar daripada syaitan oleh seorang yang ulama yang dihormati. Saya terkejut. Benarkah ini?


“Belajar tentang kreativiti dan inovasi syaitan menyesatkan manusia,” jelasnya.

Saya tersenyum. Ada kebenarannya. Syaitan begitu kreatif mencipta dan mempromosi kejahatan. Ada-ada sahaja cara dan jalannya. Tidak pernah kaku, jarang yang beku. Sentiasa ligat dan cepat. Sentiasa ada pembaharuan. Malangnya, acapkali orang yang memperjuangkan kebenaran…tidak se’dinamik’ dia. Tumpul kreativiti dan beku inovasi. Asyik-asyik yang semacam itu juga.

Begitulah. Semoga kisah dialog di bawah boleh dijadikan cabaran untuk minda bagi terus memperjuangkan kebenaran. Kita mesti lebih kreatif daripada syaitan!


KISAH TIDAK LAMA DULU

Bertemu dengannya dahulu merupakan satu penghormatan. Apa tidaknya, dia sudah berubah ke arah kebaikan.

“Mengapa tiba-tiba?” tanya saya.

“Hidayah bang…” jawabnya si dia pendek.

“Bagaimana dengan segalanya?” Risau saya dengan profesyennya.

“Allah ada. Allah akan membantu segalanya.”

“Syukur,” kata saya perlahan.

Setahun kemudian.

“Lihat ini..” kata seorang sahabat sambil menghulurkan sekeping gambar.

“Betul ke ni?”

“Apa kau ingat ini ‘super-impose’?”

Saya terdiam. Kaku.

“Mana pergi tudungnya?”

“Itu..” tuding jari saya kepada tudung merah di atas kepalanya.

“Itu tudung?”

“Yalah, bertudung tapi tidak menutup aurat.”

“Bertutup tapi terbuka, tahupun…” katanya seakan menyindir. 

Bila kenalan itu pergi, saya tatap sekali lagi gambar yang ditinggalkan. Kasihan saya melihat wajah si dia yang terbaru. Terasa, betapa kekadang hidayah datang dan pergi berselang-seli. Masih terbayang tangisannya tempoh hari, ketika menceritakan bagaimana terbuka pintu hatinya menginsafi dosa-dosa lampau.

“Bang saya insaf bang…“

Lantas, tanpa sesiapa yang memaksa… dia mengenakan tudungnya. Lengkap, labuh, menutup aurat berpandukan syariat. Tidak jarang, tidak ketat, tidak mengundang fitnah bertandang. Sempurna. Sejuk, mata memandang. Dingin kalbu merasakan. Betapa hidayah itu singgah tanpa mengira siapa, di mana dan bila? Dulu si dia terpilih, sekarang kembali tersisih?

Kini tiba-tiba segalanya semacam ‘ditarik’ kembali. Tudungnya makin singkat. Dari mulanya di bawah paras dada, naik ke paras leher dan akhirnya kembali membuka leher, dagu dan… Paling malang, tingkah yang dulunya mula terjaga, kini lepas bebas kembali. Kata sesetengah yang setuju, biarlah… itu lambang Islam dinamik. Bertudung tapi masih boleh meliuk-lentuk, terkinja-kinja dan bersuara manja. Yang penting hati… Asal hati baik, tidak mengapa. Yang penting isi, kulit tak apa. Kalau begitu kenapa dulu perlu bertukar kulit? Insaf dan taubat sahajalah, tak payah bertudung litup seperti kelmarin!

Saya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh seorang ulama satu ketika dahulu:

“Syaitan terlalu kreatif…” Kreatif? Bisik hati saya.

“Kekadang syaitan tidak menghasut manusia meninggalkan daerah putih menuju daerah hitam… Tetapi dia mengujudkan lebih banyak daerah ‘grey’ – warna keperang-perangan, yang hakikatnya bukan lagi kebenaran.” Terfikir saya, inilah jerangkap kebatilan yang dianggap kebenaran. Topeng baik bagi melempiaskan kejahatan yang dulunya terpendam. Ya, syaitan terlalu kreatif. Ada-ada sahaja ‘was-was’ baru yang ditiupkan ke jiwa insan agar meminggirkan jalan Tuhan.

Hasilnya, sekarang kita dapat lihat bagaimana ada gadis bertudung di kalangan Mat Rempit. Ada wanita bertudung yang melalak dengan gaya bebas terbabas dari nilai akhlak dan kesopanan. Atau peragawati bertudung dengan langkah ‘catwalk’ dengan dada, ‘make-up’ galak sambil yang mengundang pesona dan ‘aura’ dosa. Dan lebih ‘daring’ lagi kita dapat lihat tarian ala-ala gelek oleh gadis bertudung… Atau sekarang pun sudah ada bunga-bunga munculnya Rockers wanita bertudung? Ah, apa ni? Daerah ‘grey’? Atau segalanya sudah hitam, kelam, kusam.

Teringat juga saya pesan daripada seorang yang saya sangat hormati kerana ilmu dan kewarakannya:

Tudung wanita itu ada empat… tudung pada wajahnya, tudung pada mata, tudung pada suara, tudung pada hati.” Apa ertinya? “Tudung pada wajah… jangan sampai wajahnya mengundang fitnah. Kecantikan adalah pingitan buat suami, bukan pameran untuk lelaki ajnabi. Tudung pada mata… jangan matanya memandang lelaki lain selain muhramnya. Solehah yang hakiki, tidak dipandang, tidak memandang. Tudung pada suara… jangan dilunak-lunakkan dengan tujuan memikat dan mempersona. Tudung pada hati… mengingati Allah… dengan tasbih Siti Fatimah, subhanallah, alhamdulillah dan Allahu Akbar…

“Jangan terlalu ekstrem,” tegur seorang kawan bila saya lontarkan pandangan betapa wanita bertudung masakini sudah semakin hilang ‘penghormatannya’ (baca betul-betul… bukan ‘kehormatan’). Bagi saya kuantiti orang bertudung meningkat tapi kualitinya merudum.”
“Bukan begitu. Menutup aurat ada tujuannya… tercapaikah tujuan dengan penutupannya. Jika tidak, hakikatnya mereka masih terdedah,” balas saya perlahan.

“Aku tak faham. Maksud kau?”

“Seperti juga solat. Tujuannya mengingati Allah, kesannya pasti dapat mencegah kejahatan dan kemungkaran. Begitu maksud Al Quran apabila menjelaskan tujuan solat didirikan.”

“Lantas?”

“Jika solat tidak mencapai tujuan pasti ada sesuatu yang menyimpang. Samalah seperti hukum menutup aurat, tujuannya menjaga akhlak dan kehormatan. Maknanya kalau sudah menutup aurat, tetapi masih tercalar akhlak dan kehormatan… tentu ada yang salah dalam penutupannya.”

“Jangan ektreem sangat. Tutup aurat bukan ertinya kita menutup keindahan. Tak salah berhias, menarik, cantik.”

“Keindahan mesti didasari oleh kebenaran. Ingat, setiap keindahan tidak semestinya satu kebenaran…”

“Jadi kebenaran menolak keindahan?”

“Keindahan itu satu kebenaran!” balas saya cepat. Ya, atas alasan bertudung tidak menafikan keindahan pelbagai ‘aksesori’ ditokok-tambah menjadikan tudung lebih dimertabatkan sebagai ‘fesyen’ orang ‘baik-baik’ dan orang ‘cantik-cantik’ berbanding syariat wanita yang beriman!

“Hormati, itukan era transisi” kata seorang sahabat seakan memujuk saya.

“Transisi? Apa maksud mu?”

“Sebelum lengkap bertudung… err… maksudku menutup aurat, biarlah mereka berskaf dulu. Tu pun dah baik daripada sebelumnya yang tak menutup kepala langsung.”

“Transisi, ke arah mana? Aku tidak bercakap tentang orang yang tak bertudung langsung. Tetapi aku bercakap tentang individu yang dulu tak bertudung, lepas tu bertudung, kemudian berskaf sahaja… ini transisi ke arah mana? Nak bertudung semula atau nak tak bertudung semula?”

Dia diam. Bungkam. Marah sayapun kerana sayang.

“Langkah pengalihan mesti diiringi oleh pengisian. Jangan tutup kepala sahaja, tetapi isi kepala yang ditutup itu dengan ilmu. Mereka yang tidak menghadiri majlis lebih 40 hari, hati menjadi gelap. Kemudian cari kawan-kawan yang sehaluan. Penghayatan agama kita dipengaruhi oleh kawan-kawan kita…”

“Kau kata mereka tidak ada ilmu?’”

“Bukan begitu. Menuntut ilmu mesti berterusan. When you stop learning, you stop leading – maksudnya, jika kita berhenti menuntut ilmu kita akan berhenti memimpin. Sekurang-kurangnya memimpin diri sendiri,” kata saya.

“Sekali lagi. Kau meragui ilmu mereka?.”

“Ada sebab untuk aku meraguinya? Maaf, aku pun bukan baik. Tetapi kita tidak boleh berdiam melihat kejahilan berkata-kata.”

“Maksud kau?”

“Ada yang berkata, dia masih menutup aurat kerana dia memakai rambut palsu! Bayangkan apa yang orang begini faham tentang hukum menutup aurat? Pernahkah dia mendengar tafsir Surah An Nur? Pernah dia belajar tafsiran hadis tentang aurat wanita Islam? Peliknya, suara semacam ini semakin nyaring sekarang.”

Aku diam. Tafakur. Semua itu imiginasi untuk tulisan ini semata. Namun itu bukan ilusi. Aku tidak pernah punya kesempatan untuk menuturkannya. Lalu Kemudi Hati ini menjadi wadahku berbicara. Untuk diri, isteri, anak perempuanku dan anda wanita-wanita Islam semua. Antara syaitan bisu dan syaitan yang licik berkata-kata, kekadang kita jadi semakin bungkam… menjadi ‘malaikat’ yang diam? Oh, tidak… Rasul berpesan: katakan yang benar walaupun pahit! 



Adam - adam sebelum ADAM?


evolusi.jpg

“Tapi saya rasa lecturer saya dapat yakinkan saya bahawa Teori Evolusi itu ada benarnya. Rasa resah betul masa dalam kelas”, kata Nazri, salah seorang pelajar yang mengikuti kursus bersama saya.
“Soalnya sekarang, apakah Teori Evolusi itu memang bertentangan dengan Islam? Apakah pendirian Islam terhadap Teori Darwin? 100% bertentangan atau bagaimana?”, saya bertanya kembali kepada beliau.
”Hmm, bab ni susah nak jawab”, katanya.
”Ustaz rasa, cabaran sekarang ialah, kita tidak boleh pukul rata. Kita kena bezakan di antara Charles Darwin, Darwinism, Neo-Darwinism, Social-Darwinism dan Teori Evolusi itu sendiri”, saya sekadar memberi cadangan.
Nazri mengangguk.
”Memang banyak bezanya. Tapi bila diterjemah kepada bahasa Melayu, semuanya dibakulkan jadi ’Teori Darwin’. Itu sahaja”, sambungnya.
”Itu masalahnya. Pada pandangan ustaz, sikap pukul rata penceramah-penceramah mencela Teori Darwin, akan mendatangkan masalah, khususnya kepada orang macam anta, yang ambil Biologi untuk peperiksaan A-Level. Ramai yang sangka Teori Darwin dan evolusinya…. 100% bertentangan dengan Islam”, saya meneruskan cerita.
”Hujah mereka mudah. Kalau percaya tentang Teori Darwin, maknanya kita percaya yang atuk nenek kita dulu ialah beruk! Itu sahaja”, Nazri menyokong.
Kami sama-sama termenung. Ia bukan isu yang mudah.


TEORI EVOLUSI ITU LUAS
Kefahaman kita tentang teori evolusi bukanlah terhad kepada mahu menjawab soalan siapa / apa bapa kita. Ia juga bukan sekadar untuk mencela penjajahan Barat yang disandarkan kepada kepercayaan struggle of the fittest golongan Social Darwinist.
Kebetulan di dalam kelas Muslim Historiography saya bersama Assoc. Prof. Dr. Ahmed Elyas Hussein, kami telah berbincang tentang persoalan yang lebih mendasar terhadap perlunya kepada pendirian yang betul terhadap Teori Evolusi ini, iaitu persoalan ”Permulaan Sejarah”.
Ia membabitkan pengujian kita terhadap teori evolusi biologi dalam menjawab persoalan penciptaan Adam dan kehidupan di bumi sebelum Adam.
Hal ini penting, untuk mengungkaikan keresahan kita apabila kemajuan kajian DNA, telah membantu saintis untuk menghitung kadar mutasi struktur hidupan. Kebolehan ini mengukuhkan lagi usia fosil yang ditemui dan ini mencabar kesimpulan simplistik kita terhadap ”Persoalan Sejarah” yang saya maksudkan tadi.
Setakat ini, saintis telah mengesan kira-kira 15 spesis awal manusia. Tetapi sulit untuk dikategori dan ditentukan bagaimanakah hubungan di antara spesis ini dan bagaimanakah setiap satu spesis itu berakhir. Spesis seawal Australopithecine yang dianggarkan berusia 5 ke 2 juta tahun dahulu, membawa kepada spesis Neanderthal yang dianggarkan berusia 200,000 ke 24,000 tahun yang lalu, kesemuanya ini menimbulkan persoalan berkaitan penciptaan Adam, dan pendirian Islam terhadap evolusi itu sendiri. Apakah Adam itu hidup seawal era Australopithecine atau bagaimana?
Saya mungkin tidak berkeahlian dalam membicarakan tentang hal ini, khususnya melalui saluran Biologi, namun saya ingin berkongsi dengan pembaca beberapa perkara yang boleh membantu pembaca membuat penilaian awal tentang hal ini.
PANDANGAN ISLAM TERHADAP PENCIPTAAN MANUSIA
Saya datangkan beberapa ayat al-Quran berkenaan dengan asal usul manusia:
Firman Allah SWT di dalam al-Quran:
salsalin.JPG
Dia menciptakan manusia (lembaga Adam) dari tanah liat kering seperti tembikar (Al-Rahmaan 55: 14)
Lihat juga ayat-ayat di 22:5, 23:12, 30:20, 32:7, 37:11
Allah SWT juga menyebut:
tin.JPG
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (Al-Tin 95: 4)
Mohamed Asad dalam menafsirkan ayat ini mengatakan bahawa: Allah SWT telah menciptakan manusia di dalam bentuk yang paling sempurna dan dikurniakan kualiti-kualiti yang positif pada fizikal dan mentalnya sesuai dengan tujuan yang perlu dilaksanakan oleh makhluk yang diciptakan ini.
Lihat juga ayat-ayat di 8:2 dan 7:8
Allah SWT turut menjelaskan di dalam al-Quran bahawa seluruh manusia adalah dari keturunan Adam. Firman-Nya:
nafsinwahidah.JPG
Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya – Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya – zuriat keturunan – lelaki dan perempuan yang ramai. (Al-Nisaa’ 4: 1)
Dan manusia itu diciptakan Allah dengan maksud menjadikan mereka Khalifah di muka bumi:
adamkhalifah.JPG
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” (Al-Baqarah 2: 30)
PANDANGAN ULAMA ISLAM YANG AWAL
Di dalam sejarah Islam, tumpuan kita adalah pada melihat sejauh mana umat melaksanakan peraturan Allah, sebagai mekanisma jatuh dan bangunnya tamadun. Oleh kerana tumpuannya begitu, maka kadang-kadang kita terlepas pandang kepada pandangan para ulama’ terhadap persoalan-persoalan ‘pra-sejarah’ ini.
Sebagaimana teori evolusi mempunyai akar falsafah yang melunjur hingga ke era Ancient Greek danRoman serta agama, maka ia turut menjadi bahan ulama Islam mencari jawapan kepada persoalan pra-sejarah ini. Namun terasnya adalah bersandarkan kepada ayat-ayat al-Quran yang telah memiliki pendirian yang tersendiri mengenainya. Walaupun ulama Islam memanfaatkan sumber yang ada di sekitar mereka, tetapi prinsip-prinsip al-Quran tetap menjadi teras utama kepada mereka.
Lihat sahaja buku Akhbar al-Zaman oleh al-Mas’oudi, sebelum memperkatakan tentang Adam dan generasi selepasnya, Al-Mas’oudi meletakkan bab “Penjelasan Tentang Umur Dunia, “Penjelasan Tentang Umat-umat Sebelum Adam”, Penjelasan Tentang “Jin dan Jenis-jenis dan Qabilah Mereka”, “Penjelasan Tentang Bumi Dan Apa Yang Ada Padanya”, “Penjelasan Tentang Laut Yang Meliputi (Al-Bahr al-Muhi?) dan Perkara-perkara Ajaib yang Ada di Dalamnya” dan sebagainya.
Al-Mas’oudi menjelaskan bahawa terdapat 28 umat yang telah dicipta di muka bumi sebelum Adam. Mereka terdiri daripada flora dan fauna serta Ummah yang agak menyerupai Bani Adam. Umat ini bercampur dan berinteraksi hingga membawa kepada berkembangnya mereka kepada 120 umat.
Al-Thabari juga menyatakan di dalam Tafsirnya bahawa kesemua hidupan diciptakan sebelum penciptaan Adam.
Al-Maqdisi menjelaskan bahawa terdapat 3 Umat yang utama di dunia sebelum Adam iaitu dua daripadanya terdiri daripada kaum Jin. Manakala kaum yang ketiga adalah golongan yang berbeza dari Jin kerana mereka ini berdaging dan berdarah. Golongan ketiga ini adalah mereka yang dimaksudkan sebagai “man yufsidu feehaa wa yasfiku al-dimaa’: golongan yang membuat kerosakan dan menumpahkan darah” seperti yang diulas oleh Malaikat di dalam ayat al-Quran 2: 30.
Ulasan-ulasan al-Mas’oudi ini memperlihatkan bahawa persoalan tentang hal ehwal pra-sejarah telah pun dibahaskan oleh para Ulama’ jauh sebelum munculnya di Eropah, debat evolusi pada kurun mutakhir ini. Ulama Islam sudah menyentuh bidang ini 10 kurun sebelum ia diperkatakan di Eropah.
Persoalan ini penting di sisi ilmuan Islam, untuk membina dan menstrukturkan World History pada perspektif Islam. Mereka melihat persoalan Tuhan, manusia dan alam, sebagai subjek yang tidak boleh dipisahkan. Di atas prinsip itu, persoalan sejarah tidak sewenang-wenangnya bermula hanya dengan penciptaan Adam, tetapi era Pra-Adam turut diambil kira.
Inilah yang mengagumkan saya. Sekian lama saya terlepas pandang terhadap perhatian yang diberikan oleh Ulama’ seawal kurun ke-10M terhadap isu ini. Keprihatinan mereka menunjukkan bahawa subjek ini berharga untuk diberikan perhatian.
‘ADAM’ SEBELUM ADAM
Berkenaan dengan penciptaan Adam, majoriti ulama Islam percaya bahawa Adam dan Hawa telah dicipta dengan lengkap di Syurga. Mereka kemudiannya dihantar ke bumi selepas memakan buah yang terlarang. Keturunan mereka mengisi populasi bumi dan memulakan sejarah manusia.
Akan tetapi Allah SWT tidak menjelaskan di dalam al-Quran bagaimanakah Adam itu dicipta. Adakah dia dicipta secara berperingkat atau dengan satu proses sahaja? Sebahagian ahli Tafsir mendatangkan pandangan bahawa ketika Allah SWT mencipta Adam, tubuh Adam itu dibiarkan selama 40 tahun sebelum ditiupkan ke dalamnya roh. Di sini kita boleh melihat dengan jelas pengaruh tradisi Ancient Persian terhadap tafsiran berkenaan.
Terdapat juga sebahagian daripada ulama Islam yang menjelaskan bahawa Adam bukanlah manusia pertama yang dicipta di muka bumi. Mereka berpandangan bahawa ratusan ribu ‘Adam’telah wujud sebelum Adam bapa kita. Setiap satu ‘Adam’ itu telah mempunyai keturunan dan kehidupannya, mereka telah musnah sepenuhnya dan digantikan dengan ‘Adam’ yang berikutnya sehinggalah tiba kepada Adam, bapa kita. Adam bapa kita, dianggap sebagai pusingan terakhir siri‘Adam’ di muka bumi.
Ada juga ulama yang berpendapat bahawa Adam dan Hawa dicipta bukan di Syurga tetapi di muka bumi dan daripada bumi.
(Lihat al-Maqdisi: Al-Bad’ wa al-Tarikh dan Ibn al-‘Arabi: al-Futuhat al-Makkiyyah)
Ikhwan al-Safa juga ada menghuraikan tentang hal ini. Mereka menyatakan bahawa semua haiwan dicipta dari tanah liat kering dan membiak di kawasan Khatulistiwa yang tidak terganggu oleh perubahan cuaca yang ektrim. Hal ini memberi ruang kepada pembiakan. Di dalam suasana inilah Adam tercipta (takawwana). Ikhwan al-Safa juga berpendapat bahawa Adam dan Hawa hidup di peringkat pertama kehidupan mereka di bumi (Rasaa’il Ikhwan al-Safa, jilid muka surat 181, 229. Ada kemungkinan konsep ini diambil dari Bible kerana di dalam Bible, Syurga itu adalah Garden of Eden di mana Adam dan Hawa hidup dalam keadaan yang suci)

ISU LEKEH?
Mungkin isu-isu di atas dipandang remeh oleh sesetengah kita. Ia mungkin dengan mudah dilabel sebagai khurafat, mangsa Israiliyyat, dongengan dan sebagainya. Namun, perlu diingatkan bahawabukanlah kesahihan fakta itu yang menjadi keutamaan. Saya tegaskan begini kerana sama ada ia dilihat dari tafsiran kepada teks agama, atau pun kepada pencapaian sains itu sendiri, persoalan-persoalan ini masih dibanjiri oleh hipotesis. Malah jangan lupa kepada ingatan Allah bahawa “AKU MENGETAHUI APA YANG TIDAK KAMU KETAHUI”.
Pengetahuan kita ada batas-batasnya.
Namun apa yang menjadi keutamaan kita ialah, persoalan idea berkaitan dengan evolusi biologi, dan adanya idea tentang berkemungkinan wujudnya kehidupan dan ‘adam’ lain sebelum penciptaan Adam, mempunyai ruang untuk ia dikaji oleh Muslim. Ini akan menghindarkan pelajar Sains daripada dibelenggu rasa bersalah yang tidak perlu. Semata-mata kerana menyangkakan bahawa evolusi menyalahi Islam.
Walhal, prinsip-prinsip evolusi sudah pun ada di fikiran ahli sejarah Muslim seawal kurun ke-10M. Jika ia diterima sebagai subjek yang berharga untuk dikaji oleh umat Islam, mengapa pula hari ini kita mengambil pendirian mudah bahawa ruang perbincangan mengenai hal ini sudah terkunci. Evolusi bertentangan dengan Islam, 100%!
Apa yang membimbangkan saya ialah, sikap orang agama terhadap isu-isu seperti ini akan menimbulkan masalah sebagaimana pemuka agama Kristian yang sombong, telah membiakkan manusia sains yang menjauhi agama. Soal agama mereka betul atau salah, tidak sempat untuk dibicarakan kerana sikap sombong dan simplistic minded mereka telah menyebabkan agama tidak lagi dilihat sebagai sumber kebenaran.
Manusia beralih kepada sains kerana muak dengan kelakuan orang agama yang jumud.
THE DIVINE EVOLUTION
Di Barat sendiri, sebahagian pengkaji cuba untuk mengharmonikan evolusi dengan ajaran agama. Walaupun ahli teologi dan gereja teguh dalam menolak evolusi, namun tetap ada sebahagian mereka yang menerima undang-undang dan proses alam semulajadi, tanpa menafikan proses penciptaan oleh Tuhan. Mereka mempercayai bahawa Tuhan berada ‘di sebalik’ proses evolusi di dalam kehidupan alam ini dan manusia berada di hujung proses evolusi ini.
Penjelasan sebegini disebut sebagai ‘the Divine Evolution’.
Ada juga sebahagian pemimpin di gereja yang mengiktiraf ketidak sempurnaan teks Holy Book dan menganggap teori evolusi biologi sebagai bersesuaian dengan aqidah agama Kristian.(Lihat Maurice Bucaille, What is the Origin of Man? The Answers of Science and the Holy Scripture)
Semakan dari semasa ke semasa perlu dibuat juga oleh kita umat Islam.
Muhammad Iqbal dan beberapa tokoh yang lain, menerima idea evolusi Biologi. Namun, Iqbal menjelaskan bahawa evolusi hanya membabitkan perkembangan fizikal manusia. Ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan dimensi non fizikal atau spiritual manusia. (Lihat Muhammad Iqbal, The Reconstruction of Religious Thought in Islam).
Isu ini akan membabitkan pendirian Islam terhadap penemuan fosil, hal-hal yang berkaitan dengan kesahihan persepsi bahawa kehidupan manusia bermula dalam keadaan yang primitif, isu banjir besar serta hal Ya’juj dan Ma’juj.
Di Amerika Syarikat, saintis genetik dan paleontologis di akhir kurun ke 20, selepas mengkaji ribuan fosil purba, menyokong teori mtEve yang mencadangkan bahawa keturunan manusia ini bermula dari satu lelaki dan satu perempuan. Penerimaan ini membuka laluan kepada mereka untuk berpihak kepada agama dan seterusnya mula mengemukakan hipotesis tentang Kapal Nuh danGarden of Eden.
Jika umat Islam mengambil jalan mudah dengan mengatakan semua ini mengarut, maka lebih mudahlah Islam akan dianggap mengarut, apabila gagal berinteraksi dengan pencapaian sains dan teknologi genetik hari ini.
Saya bimbang dengan jumlah anggota masyarakat kita yang menarik diri dari masyarakat dan memencilkan diri kerana tertekan dengan trend perdana yang selesa dengan anggapan bahawa sains dan agama itu saling bertentangan.
Mudah-mudahan dengan perkongsian maklumat ini akan dapat membuktikan kepada pembaca, betapa ulama, ahli sains dan ahli sejarah saling memerlukan di antara satu sama lain untuk lebih memahami agama, Allah SWT, manusia dan alam sejagat.
Jangan kita mangsakan Islam dan Muslim oleh sembang simplistik yang merugikan itu.

Abu Saif, saifulislam.com

Comment :

© 2011 Usrah Institution . All Rights Reserved.. Powered by Blogger.